Inisiatif hijau Pasar Borong KL bantu elak pencemaran sungai

Bilakah kali terakhir atau pernahkah anda pergi ke pasar borong di Malaysia? Sesiapa yang pernah melawati pasar borong akan memberikan gambaran ia adalah tempat sebuah tempat yang riuh-rendah dengan berpuluh lori keluar masuk dan beratus pekerja asing yang memuat naik dan turun barangan makanan basah.  Di Malaysia, terdapat 46 pasar borong yang beroperasi 24 jam sehari 7 hari seminggu dan menjadi tumpuan pemilik kedai runcit, peniaga pasar, peniaga gerai makanan, pemilik restoran dan juga orang ramai untuk membeli pelbagai jenis barangan makanan basah dengan kuantiti yang banyak pada harga yang rendah. 

Antara pasar borong yang terkenal di Malaysia ialah Pasar Borong Kuala Lumpur yang terletak di Pusat Bandar Utara Selayang. Pasar borong ini mempunyai 448 gerai dan dibahagikan kepada 3 bahagian iaitu buah-buahan, sayur-sayuran dan makanan laut. Secara rutinnya, lori-lori yang membawa bahan makanan basah ini akan keluar masuk pasar borong ini seawal jam 3 pagi. Setelah proses memuat turun dan jual beli selesai, proses seterusnya adalah penyisihan dan pembungkusan semula. 

Sisa sayuran bertaburan 

Sisa sayuran bertaburan di persekitran pasar borong

Sisa sayuran bertaburan di persekitran pasar borong

Bagi peruncit  sayur – sayuran, mereka akan melakukan aktiviti sisih sayur iaitu mengasingkan dan membuang bahagian sisa sayur yang rosak atau tidak cantik. 

Isu timbul apabila peruncit dan peniaga pasar borong meninggalkan sisa sayuran mereka bertaburan di kawasan persekitaran pasar borong kerana tiada sistem pengasingan sampah yang baik atau sistematik walaupun pihak berkuasa tempatan iaitu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melalui Alam Flora Sdn Bhd membersihkan kawasan tersebut setiap hari.

Peniaga dan peruncit akan membuang sayur dan sisa pepejal lain ke dalam tong yang sama. Malah, sisa sampah juga melimpah ke jalanan atau lantai kawasan. Sayuran yang ditinggalkan akan mula membusuk dan menghasilkan air larut resapan yang akan mengalir ke dalam longkang yang kemudiannya akan disalurkan ke sungai berhampiran seperti Sungai Batu. Ini memberi impak negatif terhadap sungai terutamanya kualiti air, bau dan nilai estetik. 

Para peruncit menyisihkan sayur-sayuran di kawasan parkir kereta

Selain itu, sisa sampah juga akan dibawa ke tapak pelupusan sampah setiap hari akan meningkatkan kos pengendalian serta kebergantungan terhadap tapak pelupusan sampah. 

Menurut kajian yang dijalankan oleh Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) pada tahun 2012 sisa makanan merupakan sisa yang paling banyak dihasilkan di Malaysia iaitu sebanyak lebih kurang 31% hingga 45% daripada jumlah keseluruhan sisa yang dijanakan setiap hari. Daripada jumlah ini, sektor Industry, Commercial, Institution (ICI) yang merangkumi pasar borong, basah dan tani menghasilkan 31.4%. 

Penyediaan tapak sisihan sayur sistematik 

Menyedari keadaan ini menyumbang kepada pencemaran alam sekitar terutamanya terhadap sungai berhampiran, Konsortium Pasar Borong Sdn Bhd (KPB) dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) disokong oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia telah mengambil inisiatif untuk menambah baik sistem pengurusan sisa sampah di Pasar Borong Kuala Lumpur untuk mengurangkan kos pelupusan sampah dan mengelakkan air sisa daripada mengalir ke longkang dan sungai.

Pada bulan April 2019, KPB telah meyediakan sebuah tapak khas sebesar 400 m2 diperkarangan pasar tersebut untuk aktiviti khusus penyisihan sayur.  

Di tapak sisih sayur tersebut, pihak DBKL bertindak dengan menyediakan tong sampah khas untuk sisa sayur sahaja sementara Alam Flora telah menyediakan tong RORO (Roll-on Roll-off) untuk sisa pepejal yang lain. Pihak KPB juga mewajibkan para peniaga dan peruncit untuk menyisih sayur, mengasing sisa dan membuang ke tong khas yang disediakan.

Tong RORO khas (kiri) disediakan di Pasar Borong KL untuk para peruncit membuang sisa sisihan sayuran 

Di bawah Program Jangkauan Awam River of Life Fasa 5 (ROLPOP5) yang diterajui oleh JPS Malaysia, aktiviti kesedaran awam dan mempromosikan inisiatif hijau ini dilaksanakan dikalangan peniaga dan peruncit pasar borong ini seperti kempen kesedaran untuk pekerja asing, pemasangan papan tanda dan poster amalan pengurusan terbaik, dan bertemu dengan setiap para peniaga dan peruncit agar mereka dapat menyokong inisiatif ini dan membudayakan amalan pengurusan terbaik dalam setiap urusan. 

Dr K. Kalithasan, pakar dalam bidang pengurusan sungai dan sisa pepejal dari Global Environment Centre (GEC) dan juga Koordinator ROLPOP5, berkata "Pasar Borong KL mempunyai cara pengendalian sampah yang sistematik. Walau bagaimanapun, masalahnya terletak di kawasan sekitarnya. Pengurusan sisa sampah yang tidak betul terutama dari segi pengasingan sampah boleh menyebabkan persekitarnya menjadi kotor dan secara langsung mempengaruhi saluran air yang mengalir ke Sungai Batu. Penubuhan pusat ini adalah inisiatif yang bagus untuk mengurangkan masalah pengurusan sampah. "

Kempen kesedaran yang dilaksanakan dibawah ROLPOP5 untuk pekerja asing Bangladesh di Pasar Borong KL

Antara poster amalan pengurusan terbaik dihasilkan untuk pasar basah dibawah ROLPOP5. Muat turun poster ini.

Selamatkan 80% sisa organik dari dilupuskan dan digunakan sebagai makanan serangga

Dianggarkan sebanyak 440kg sisa sampah dijana setiap hari di Pasar Borong Kuala Lumpur. 80% daripadanya adalah sisa organik daripada sayur-sayuran dan buah-buahan yang dibuang oleh peruncit dan peniaga hasil aktiviti penyisihan. 

Menyedari sisa organik mempunyai pasaran, KPB telah menjalinkan kerjasama dengan Betsol Sdn Bhd untuk membekalkan sisa sisihan sayur dengan menjadikannya sumber makanan kepada larva serangga lalat askar hitam (Hermetia ilucens). Larva serangga ini padat dengan sumber protein akan diproses dan dijual sebagai makanan ikan hiasan atau makanan ternakan seperti ayam, manakala residu yang dihasilkan oleh larva lalat ini dijadikan sebagai baja organik.  

Betsol Sdn Bhd juga telah menyediakan tong RORO mereka sendiri untuk mengangkut sisa sayur yang telah disisihkan, 3 kali seminggu ke pusat operasi mereka di Rawang, Selangor.

 

Sisa sisihan sayuran yang menjadi makanan kepada larva serangga lalat askar hitam 

   

Rajah proses penghasilan baja dan makanan ternakan dari larva Hermetia ilucens      

Hasilnya, jimat kos RM25,000

Sejak inisiatif ini dimulakan sehingga November 2019, pihak KPB telah berjaya mengurangkan 53,000kg sisa organik dari dihantar ke tapak pelupusan sampah Bukit Tagar dan menjimatkan kos pengurusan serta mengurangkan kebergantungan terhadap tapak pelupusan sampah yang kini mengalami isu kekurangan tapak pelupusan. 

Pihak DBKL telah mendapat penjimatkan kos sebanyak RM 25,000 pada enam bulan pertama sejak pelaksanaan inisiatif ini. Penjimatan kos ini adalah daripada kos pengangkutan dan ‘bayaran tip’ untuk 40,000kg sisa sayuran. 

Inisiatif yang diambil oleh pihak Konsortium Pasar Borong Kuala Lumpur menambah baik sistem pengurusan sampah untuk mengelakkan sungai berdekatan daripada tercemar sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap tapak pelupusan sampah adalah wajar dipuji dan dicontohi. 

Diharapkan inisiatif sebegini dapat diperluaskan ke pasar-pasar yang lain sekali gus membina kesedaran antara peniaga dan peruncit untuk mengamalkan inisiatif hijau terutamanya inisiatif sifar sampah dan amalan-amalan pengurusan terbaik untuk pasar basah. 

Peniaga dan peruncit boleh mendapatkan infografik ringkas dan padat mengenai amalan pengurusan terbaik untuk pasar basah di sini.